--> Skip to main content

Sedia Ambil Alih Pengurusan PBSNT Jika Gagal


KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri bersedia mengambil alih pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sekiranya permasalahan yang dihadapi terutama melibatkan prestasi pemain masih gagal diselesaikan dalam tempoh yang diberikan.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman menegaskan, pihaknya turut tidak teragak-agak memotong peruntukan yang disalurkan kepada persatuan itu sekiranya pasukan Terengganu masih gagal mempamerkan aksi cemerlang dalam perlawanan.

“Kalau persatuan tidak dapat menyelesaikan masalah ini sehingga tempoh yang diberikan, kerajaan negeri akan ambil alih sendiri pengurusan bola sepak bagi skuad Terengganu.

“Saya juga telah maklumkan bahawa kedua-dua pasukan ini perlu bersungguh-sungguh, kalau tak beri pulangan baik kepada pelaburan yang kita berikan, mungkin tahun depan kita akan pertimbangkan untuk kita wujudkan satu sahaja pasukan sahaja,” katanya kepada pemberita pada Sambutan Aidilfitri Wisma Persekutuan Kuala Terengganu, di pekarangan Wisma Persekutuan, di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya telah menyerahkan kepada Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat bagi menyelesaikan perkara itu bersama PBSNT.

“Perlu diingat, kerajaan negeri telah mengeluarkan perbelanjaan besar, pelaburan ini duit rakyat. Jadi, kita nak pastikan mereka bersungguh-sungguh. Soal menang atau kalah soal nombor dua, yang penting komitmen tinggi dan kesungguhan bermain setimpal dengan pelaburan dibuat.

“Kalau tak mencapai indeks petunjuk prestasi (KPI) yang kita tetapkan, kita tak akan teragak-agak untuk potong terus peruntukan dan pastikan tindakan drastik lain yang kita akan ambil. Kita tak nak pelaburan besar yang kita laburkan akan menimbulkan rasa tidak puas hati pada rakyat,” katanya.

Ahmad Razif berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah mengeluarkan peruntukan besar dalam bola sepak asalkan ia memberi pulangan yang memuaskan.

“Bola sepak bukan sekadar sukan, ia juga melibatkan sokongan rakyat kepada kerajaan. Sebab itulah kerajaan tak ada masalah untuk kita membuat satu pelaburan tinggi dalam sukan bola sepak, tetapi kita nak pastikan mendapat pulangan setimpal dengan apa yang kita laburkan,” katanya.

Ditanya sama ada menukar jurulatih dapat menyelesaikan masalah itu, katanya, beliau menyerahkan perkara itu kepada pihak pengurusan.

“Saya serah kepada mereka bagaimana nak selesaikan masalah yang berlaku, mereka nak diberi tempoh, jadi saya tunggu, kalau mereka tak dapat selesaikan,  kita akan ambil alih serta-merta,” katanya.

Terdahulu, PBSNT mengambil langkah merehatkan ketua jurulatihnya, Mike Mulvey, 53 selepas pasukan itu menghadapi episod kekalahan teruk musim ini melibatkan aksi pembuka tirai kempen Piala Malaysia, 12 Julai lalu apabila Terengganu kalah kepada pasukan Liga Perdana 1-2 dan pasukan Kelantan 1-6 dalam saingan Liga Super.

Sebelum ini, Presiden PBSNT, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abd Hamid turut mengumumkan akan meletak jawatan serta-merta jika skuad Penyu gagal mara ke suku akhir Piala Malaysia.
Tarikh Artikel: Wednesday, July 20, 2016
Comment Policy: Kami Terengganu 11 tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Buka Komen
Tutup Komen
Loading...