--> Skip to main content

Lagi Jadi Korban Di Lubuk Kain


DUNGUN - Kegembiraan sekumpulan anak muda berkelah di kawasan air terjun Lubuk Kain, Kuala Jengai, di sini bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka mati lemas, semalam (16 Julai 2016).

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang, mangsa, Yusof Bulhayat Zawawi, 24, dipercayai lemas selepas terjun di lubuk itu dan mayatnya ditemui di dasar sungai oleh penduduk kampung.

Rakan mangsa, Tengku Mohd Saharuddin Tengku Nordin, 24 berkata, dia bersama rakan-rakannya kenderaan bertolak dari Kemaman kira-kira jam 9.00 pagi.

“Seramai 33 orang menyertai perkelahan ini termasuk mangsa dan kebanyakan dari kami rakan sekolah.

“Ini bukan kali pertama kami ke sini kerana sebelum ini lokasi ini pernah dikunjungi.

“Pada awalnya semua mandi di bahagian bawah sahaja dan tidak lama kemudian ada yang naik ke atas termasuk saya serta mangsa,” katanya.

Katanya, dia sudah berusaha menyelamatkan mangsa yang berasal dari Jalan Delima 8, Gong Limau, Kemaman itu tetapi tidak berdaya.

“Pada awalnya salah seorang rakan terjun di lubuk itu tetapi tiada apa-apa berlaku.

“Melihat keadaan itu saya dan mangsa mengambil keputusan untuk terjun sama tetapi mangsa agak was-was.

“Sekejap dia duduk, sekejap berdiri dan akhirnya terjun juga ke dalam air.

“Ketika di dalam air dia cuba berpaut pada batu yang ada di situ tetapi batu itu licin dan saya memberitahunya supaya berenang ke arah lain.

“Bagaimanapun ketika itu dia sudah terkapai-kapai dan saya terjun untuk membantu.

“Arus deras menyebabkan keadaan agak sukar dan saya bernasib baik kerana sempat berpaut pada lubang kecil yang terdapat pada sebuah batu.

“Sambil berpaut saya menyuruhnya memegang kaki saya dan dia sempat berpaut tetapi ketika saya meminta bantuan rakan-rakan lain dia sudah hilang.

“Saya jerit meminta kawan maklumkan kejadian kepada orang lain dan sebaik sahaja berpusing dia sudah tiada.

“Saya kemudiannya berpaut pada pelampung dilemparkan rakan lain, manakala dia tidak dapat dikesan sehinggalah ada orang kampung menemuinya di dasar sungai.

“Dia tenggelam kira-kira setengah jam sebelum dibawa naik penduduk,” katanya.

Salah seorang lagi rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, mangsa berkelakuan lain dari kebiasaan sebelum kejadian itu tetapi mereka tidak syak apa-apa.

“Hari ini dia buat hal sendiri dan tidak mahu bercampur dengan rakan-rakan lain.

“Ketika sampai dialah orang yang awal-awal terjun dan ketika ada yang naik ke atas dia ikut serta,” katanya.

Mayat mangsa yang juga pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) Gebeng, Kuantan itu dihantar ke Hospital Dungun untuk tujuan bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Ahmad Zailani Yaacob mengesahkan kejadian itu.

Mangsa adalah korban ketiga pada tahun ini yang maut di Lubuk Kain yang popular sebagai lubuk berbahaya oleh penduduk setempat.

Kejadian pertama melibatkan seorang pelajar dari Kemaman pada 4 April lalu, manakala kejadian kedua  melibatkan seorang remaja dari Kerteh 6 pada 7 Mei 2016.
Tarikh Artikel: Monday, July 18, 2016
Comment Policy: Kami Terengganu 11 tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Buka Komen
Tutup Komen
Loading...