--> Skip to main content

Perantau Lahirkan Kekesalan


KUALA TERENGGANU – Persatuan Anak Terengganu Di Perantauan (Perantau) melahirkan rasa kesal dan bimbang dengan keputusan kerajaan negeri merestui Kerajaan Pusat untuk melaksanakan kutipan tol di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) bermula semalam.

Naib Presidennya, Shuhaimi Embong berkata, kadar bayaran tol yang dikenakan itu sudah tentu mempengaruhi kos kenaikan harga barangan harian yang akan membebankan lagi pengguna yang sedia terbeban dengan kos kenaikan barangan sedia ada.

Menurutnya, tekanan kepada kenaikan harga barang akibat peningkatan kos pengangkutan itu sudah tentu bakal dirasai rakyat Terengganu.

“Lebih sedekad lamanya kita dijanjikan lebuh raya setelah negeri-negeri semenanjung lain berpeluang menikmatinya (kecuali Kelantan). Setelah acap kali tertangguh dengan pelbagai masalah pengurusan dan birokrasi hingga memerlukan suntikan dana negeri, LPT2 dibuka sepenuhnya hanya pada awal tahun 2015 dengan pelbagai kekurangan.

“Setelah hanya seketika rakyat dapat mengecapi kelegaan ini, tiba-tiba kutipan tol dikenakan dalam keadaan membebankan rakyat tanpa mengambil kira kualiti perkhidmatan lebuh raya dan sebahagian kos pembinaan yang ditanggung menggunakan duit rakyat Terengganu (dana kerajaan negeri Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan media kepada Sinar Harian, di sini.

Mengulas lanjut, Shuhaimi berkata, pihaknya turut merasakan ada sesuatu yang tidak kena terhadap keputusan kutipan tol yang disifatkan terburu-buru.

Bukan itu sahaja katanya, kutipan tol dengan kadar 12 sen bagi setiap satu kilometer untuk kereta itu dikatakan adalah yang tertinggi.

“Di mana logiknya bila mana hampir keseluruhan pembiayaan LPT2 ditanggung kerajaan Terengganu melalui Dana Khas, tiba-tiba pihak lain pula diberi hak mengutip tol? Status perjanjian menjadi rahsia dengan tempoh konsesi serta perincian pengagihan kutipan tidak didedahkan, sementara tuntutan hutang RM1.8 bilion masih menjadi tanda tanya.

“Lebih memeritkan lagi apabila Lebuhraya Pan Borneo pula beroperasi tanpa sebarang kutipan tol kepada pengguna,” katanya.

Berdasarkan kepada kemudahan yang disediakan di laluan tersebut katanya, masih banyak kekurangan yang perlu dipertingkatkan antaranya persinggahan Rehat dan Rawat yang masih belum sempurna dan tidak beroperasi sepenuhnya, tiada kemudahan stesen minyak, kualiti permukaan jalan yang teruk, tanda arah atau keselamatan serta lampu jalan yang tidak mencukupi.

Beliau berkata, keadaan itu jelas menunjukkan bahawa lebuh raya terbabit tidak bersedia sepenuhnya untuk memberi perkhidmatan kepada orang ramai dan bayaran tol juga tidak sepatutnya dikenakan.

“Perantau menyeru Kerajaan Terengganu bertegas dengan menjaga hak rakyat sendiri. Maka perantau mendesak dan menuntut agar kutipan tol ditangguhkan sehingga kualiti lebuh raya ditingkatkan dan semua kemudahan lain disediakan secara secukupnya.

“Apabila semua perkhidmatan lebuh raya disediakan dengan memuaskan, kadar tol yang bakal dikenakan mestilah pada kadar yang minima mengambil kira sebahagian besar tanggungan pembinaan lebuh raya adalah dari dana rakyat Terengganu sendiri yang mana hutang sebanyak RM1.8 bilion tersebut masih tertunggak,” katanya.

Tangguhkan kutipan tol LPT2

Pakatan Harapan mendesak kerajaan negeri Terengganu mengemukakan bantahan kepada kerajaan Pusat untuk menangguhkan kutipan tol di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) dengan serta-merta sehingga beberapa perkara dipertimbangkan sewajarnya termasuk kadar kutipan tol.

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail yang mewakili blok pakatan itu memberitahu bahawa ia perlu dilakukan demi kepentingan pengguna di laluan terbabit di samping spesifikasi keselamatan serta kemudahan yang boleh dipertikaikan dan tidak sewajarnya menggambarkan pembinaan lebuhraya dengan kos pembinaan yang dianggap lebuh raya elit dan termahal di Semenanjung Malaysia.

Menyifatkan pelaksanaan kutipan tol sebagai tergesa-gesa kerana pengumuman dibuat beberapa hari sebelum ia dilaksanakan juga turut menimbulkan persoalan sedangkan banyak masalah di laluan tersebut masih belum diselesaikan sehingga kini.

“Pertimbangan (perlu dibuat) untuk menilai sama ada munasabah atau tidak jumlah kutipan tol 12 sen satu kilometer dengan kemudahan yang tidak mencukupi dan juga kedudukan taraf keselamatan pengguna yang masih lagi dipertikaikan.

“Penangguhan ini juga memberi peluang kepada sama ada perlu berlaku pengurangan dalam kadar tol per kilometer sesuai dengan sumbangan kerajaan negeri ataupun pelaburan kerajaan negeri yang dibuat hampir separuh daripada jumlah (pembinaan) tersebut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Hari Raya Aidilfitri di Pejabat PKR Kuala Terengganu, Gong Kapas, di sini, kelmarin.

Beliau berkata, penilaian semula juga perlu dilihat sama ada kerajaan negeri perlu mengambil alih keseluruhan ekuiti ataupun aset LPT2 sebagaimana pengumuman tawaran yang pernah dibuat oleh kerajaan tahun lepas terhadap pemilikan keseluruhan konsesi dan aset-aset LPT.

Azan turut mempersoalkan sikap kerajaan negeri yang tidak mengambil tindakan terhadap tawaran tersebut sama ada menerima atau menolaknya dan memberitahu bahawa inilah masanya untuk kerajaan negeri boleh mengambil peluang untuk memiliki aset dan pengurusan konsesi secara eksklusif dan lebih baik.

Sementara itu, sekiranya pertimbangan yang dikatakan itu tidak diambil perhatian oleh kerajaan negeri, beliau melalui perbincangan dengan beberapa pihak akan mengambil tindakan injunksi di mahkamah bagi membolehkan keputusan lebih wajar dibuat.

“Kami faham bahawa keputusan untuk mengutip tol ini datang daripada kementerian ataupun kerajaan Pusat maka kami faham kerajaan negeri Terengganu berada dalam keadaan sukar serta terhimpit dengan keputusan ini.

“Jadi, kami rasa kerajaan negeri tidak berupaya setakat ini untuk berunding atau mencari alternatif lain selain membebankan rakyat negeri Terengganu dan pantai timur. Maka kami rasakan kaedah mengambil injunksi adalah wajar untuk memberi gambaran yang lebih jelas terhadap bangkangan dan tidak bersetujunya rakyat Terengganu untuk dikenakan tol,” katanya.

Beliau juga turut meminta mana-mana pihak tidak seharusnya menyalahkan rakyat sekiranya mereka mengambil tindakan mengadakan protes jalanan dan demonstrasi di plaza-plaza tol sebagai bantahan terhadap kutipan terbabit.

“Walaupun ini tidak berlaku dan kita tidak galakkan tetapi kita tahu sejarah apabila tidak ada penyelesaian maka selalunya akan dipilih kaedah sebegini. Jadi, kita harap keadaan keputusan kutipan tol di Terengganu tidak mencapai keadaan tersebut,” katanya. - SINAR HARIAN
Tarikh Artikel: Monday, July 18, 2016
Comment Policy: Kami Terengganu 11 tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Buka Komen
Tutup Komen
Loading...