--> Skip to main content

Letak Jawatan Jika Gagal Ke Suku Akhir Piala Malaysia


KUALA TERENGGANU :- Ekoran prestasi hambar berterusan, diikuti kekalahan memalukan 1-6 kepada Kelantan kelmarin, Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) bertindak merehatkan ketua jurulatih, Mike Mulvey berkuat kuasa hari ini, manakala Pre­sidennya, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid menyatakan kesediaan untuk berundur.

Keputusan itu dibuat hasil perbincangan hampir dua jam antara pihak pengurusan PBSNT yang diketuai Wan Ahmad Nizam dengan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat di Wisma Darul Iman di sini.

Mulvey, 53, menjadi Ketua Jurulatih Terengganu kedua yang direhatkan musim ini selepas menggantikan Ahmad Yusof pada hujung Mac lalu.
Tempatnya akan diambil alih buat sementara oleh penolong jurulatih, Mustafa Kamal Abd. Wahab, sambil dibantu Roshadi Wahab yang kini mengemudi skuad Sukan Malaysia (Sukma) serta Piala Presiden Terengganu.

“Kedua-dua mereka akan mula memikul tanggungjawab membimbing pasukan Terengganu bagi mengharungi kempen Piala Malaysia dan juga saingan Liga Super sehingga penghujung musim.
“Buat masa ini perubahan ha­nya dilakukan melibatkan aspek kejurulatihan, manakala pasukan masih mengkekalkan pemain sedia ada dan saya harap reputasi skuad Penyu dapat dipulihkan dalam masa terdekat,” kata Wan Ahmad Nizam.

Terengganu kini menduduki tangga ketujuh dalam Liga Super selepas mencatat lima kemena­ngan, satu seri dan tujuh kalah daripada 13 perlawanan.
Dalam kempen Piala Malaysia yang bermula minggu ini, skuad Penyu tewas 1-2 kepada Melaka United dalam aksi sulung Kumpulan D, Selasa lalu.

Sementara itu, bercakap me­ngenai kedudukan sebagai Pre­siden PBSN yang digalas sejak empat tahun lalu, Wan Ahmad Nizam menyatakan kesediaan berundur, namun pengunduran perlu dilakukan mengikut proses sewajarnya iaitu dalam Mesyua­rat Agung Tahunan (AGM) persatuan itu nanti.

“Sebagai seorang yang meminati sukan, saya faham. Dengan keadaan begini, lebih baik saya berundur dan ia lebih memeriahkan lagi suasana.
“Saya mari (dilantik sebagai Presiden) dulu pun atas arahan. Kita tengok mana-mana negeri, kebanyakan jawatan ini dipegang oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri kecuali Kelantan, Johor dan Pulau Pinang,” katanya.

Ditanya sama ada kesediaannya meletak jawatan disebabkan desakan mana-mana pihak, Wan Ahmad Nizam menafikan dakwaan itu sebaliknya menegaskan, tempoh empat tahun memegang jawatan itu sudah memadai.

“Pertukaran Presiden di mana-mana pertubuhan (bola sepak) mesti ada caranya. Insya-Allah kita akan buat secepat mungkin dan saya dah maklumkan kepada Datuk Rozi.
“Saya berjanji dengan beliau, kalau boleh biarlah Terengganu layak ke suku akhir (Piala Malaysia) dan jika gagal, saya akan gugur secara automatik,” katanya. - UTUSAN
Tarikh Artikel: Sunday, July 17, 2016
Comment Policy: Kami Terengganu 11 tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Buka Komen
Tutup Komen
Loading...