--> Skip to main content

Terengganu Kuasai Acara ITT Individu Sukma Sarawak


PELUMBA basikal Terengganu menepati ramalan apabila berjaya meraih dua pingat emas dalam acara ujian masa individu (ITT) kategori lelaki dan wanita yang berlangsung di Jalan Bandar Baru Sameriang/FAC  Matang, Kuching di sini, hari ini.

Emas pertama kem lumba basikal itu diraih menerusi pelumba yang sedang meningkat naik,  Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff selepas menamatkan kayuhan sejauh 40 kilometer (km) dengan catatan masa terpantas 0:56:17.753 saat di depan dua pelumba dari Johor, Eiman Firdaus Mohd Zamri untuk pingat perak (0:56:27.484s ) manakala gangsa  Muhamad Nur Aiman Rosli (0:56:38.106s).

Manakala emas kedua disumbangkan oleh pelumba wanita Nur Aisyah Mohamad Zubir yang berjaya mempertahankan kejuaraannya musim lalu selepas menamatkan perlumbaan sejauh 30km dengan catatan masa terpantas 0:42:49.641s di depan rakan sepasukan Aimi Iwasaki Muhammad Moritoshi untuk pingat perak (0:44:31.384s) dan gangsa menjadi milik atlet dari Pahang, Siti Aisyah Alias (0:46:55.699s).

Hadir memberi sokongan kepada skuad lumba basikal Terengganu pada  perlumbaan itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Rozi Mamat, Ketua Kontinjen Sukma Terengganu, Datuk Mohamad Nor Ibrahim dan Timbalannya, Samiun Salleh.

Sementara itu, Nur Aiman Mohd Zarrif ketika ditemui mengakui berpuas hati dengan catatan masa terbaiknya sekaligus menembus kembali kekecewaannya untuk meraih emas pada Sukma Perlis dua tahun lalu apabila sekadar meraih pingat perak.

Menurutnya, latihan lebih sebulan di negara jiran, Thailand banyak membantunya untuk mengekalkan rentak yang konsisten sepanjang perlumbaan selain sokongan kuat daripada keluarga, jurulatih dan juga pihak Persatuan Lumba Basikal Negeri Terengganu.

“Alhamdulillah hasrat saya untuk meraih emas dalam acara ini berjaya direalisasikan dan akan menjadi suntikan semangat buat saya menambah koleksi emas dalam tiga lagi acara yang akan disertai nanti.

“Saya harap dengan permulaan emas ini buat akan mendorong rakan-rakan sepasukan untuk mencapai sasaran lapan pingat emas yang perlu digalas sehingga tamat kejohanan ini,” katanya.

Pelumba berusia 19 tahun itu juga menerima insentif segera yang disampaikan oleh Ketua Kontinjen Terengganu, Datuk Mohamad Nor Ibrahim selepas diumumkan selaku pemenang pingat emas acara ITT 40km, hari ini.


EMAS SULUNG BERBASIKAL TERENGGANU

Terengganu akhirnya merangkul pingat emas sulung dalam acara berbasikal pada hari ketiga acara itu dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2016.

Atlet pelapis dari Terengganu, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff, menceriakan pasukan Terengganu selepas meraih pingat emas pertama bagi negerinya untuk acara berbasikal 40 kilometer ujian masa individu lelaki.

Aiman mencatat masa terpantas 56 minit 17.753 saat, meletakkan pasukan Johor di belakang dengan pingat perak dan gangsa.

Atlet berusia 19 tahun itu mengumpul dua pingat emas dan satu pingat perak ketika di Sukma Perlis dua tahun lalu.

Sasarannya untuk menambah lebih pingat pada tahun ini perlu dicapai bagi memastikan empat pingat emas dalam genggamannya.

"Saya berasa bangga orang ramai meletakkan harapan kepada saya untuk memenangi pingat emas berbasikal.

"Moga ini menjadi pembakar semangat untuk kawan-kawan saya, bukan sukan berbasikal sahaja tetapi sukan-sukan lain juga," katanya..

Atle elit kebangsaan, Eiman Firdaus Mohd Zamri, dari Johor yang diletakkan sasaran tinggi untuk menjuarai acara ini, ketinggalan di belakang Aiman dengan perbezaan maa 9.731 saat.

Eiman yang menyertai Sukma buat kali pertama, bagaimanapun, tidak meletakkan harapan terlalu tinggi. Pingat perak yang dimenangi Johor dijadikan sebagai langkah permulaan untuk terus meraih pingat emas dalam acara seterusnya.

"Saya sudah mencuba sehabis baik untuk diri saya, rezeki saya hanya untuk mendapat tempat kedua sahaja, saya terima," katanya.
Tarikh Artikel: Saturday, July 23, 2016
Comment Policy: Kami Terengganu 11 tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Buka Komen
Tutup Komen
Loading...