--> Skip to main content

T-Team Titans Tewas Lagi Ditangan Helang Merah


Alor Setar: Bermain dalam hujan pada babak pertama membuatkan kedua-dua pasukan tampil dengan aksi berhati-hati dan permainan banyak berlegar di tengah padang.

Peluang pertama Kedah hadir menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti pelawat pada minit ke-6 namun cubaan Liridon Krasniqi mudah didakap penjaga gol Mohd Ilham Amirullah.

T-Team yang tidak mahu mengaku kalah turut melakukan percubaan menerusi Badrul Hisham tetapi sedikit tersasar di sebelah kanan gawang tuan rumah.

Kedudukan 0-0 kekal hingga wisel babak pertama dibunyikan dan sebaik separuh masa kedua bermula, Kedah kembali garang dan beroleh gol tunggal menerusi rembatan Shane Smeltz pada minit ke-49 selepas dia menerima hantaran Syafiq Ahmad.

Pelawat turut memperoleh peluang keemasan pada minit ke-66 tetapi sepakan percuma Makan Konate ditumbuk keluar penjaga gol Kedah Mohd Ifwat manakala cubaan Dilshod Shrifudinov melewati palang gol.

Kedah menceriakan kira-kira 5,000 penyokong setia mereka menerusi kemenangan 1-0 ke atas T-Team dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman malam tadi.

Sementara itu, di Ipoh, Perak berjaya mencatat kemenangan 2-0 ke atas Terengganu hasil jaringan Kenny Pallraj dan Elias Fernandes pada setiap babak perlawanan.

Dengan kemenangan itu, The Bos Gaurus berjaya memperbaiki kedudukan di tangga kelapan berbanding di tempat ke-11 sebelum ini. - HM
Tarikh Artikel: Sunday, July 24, 2016
Comment Policy: Kami Terengganu 11 tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Buka Komen
Tutup Komen
Loading...