--> Skip to main content

Semangat Berpasukan Jadi Kekuatan Terengganu


Peningkatan ketara dalam corak permainan dan persefahaman menjadi kunci buat pasukan bola sepak Terengganu mencari kemenangan dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di Sarawak, bermula 19 Julai ini.

Perubahan itu jelas melegakan ketua jurulatih, Roshadi Wahab, dalam mencapai misi menamatkan kemarau emas acara bola sepak sejak 2010.

“Sepanjang tujuh perlawanan persahabatan, saya dapati pemain-pemain sudah mula dapat menyesuaikan diri dengan corak berpasukan yang diterapkan, jadi ini sangat penting untuk saya menurunkan pasukan terbaik.

“Sejak hari pertama kami menjalani latihan, saya lihat banyak perubahan yang sangat positif, saya harap mereka dapat menterjemahkannya dengan suasana di Sarawak nanti.”

Selain diperkuatkan pemain-pemain terbaik dari pasukan Piala Presiden Terengganu dan T-Team, Roshadi turut menagih khidmat dan pengalaman empat pemain skuad senior Liga Super, iaitu Amierul Hakimi Awang, Mohammad Arif Fadzilah, Muhammad Safawi Rasid dan Zuasyraf Zulkiefle.

“Mereka akan bersama pasukandalam senarai 25 pemain yang sudah didaftarkan. Mereka beraksi dalam perlawanan pertama Piala Malaysia (semalam), kemudian baru dilepaskan kepada pasukan ini dan akan mula menjalani latihan bersama kami esok (hari ini).”

Pengalaman empat pemain yang turut bersama skuad B-22 negara itu akan menambahkan lagi kekuatan pasukan Terengganu, terutama Safawi, yang merupakan pemain utama pasukan Liga Super T-Team.

“Saya sudah ada gambaran siapa yang akan beraksi dalam kesebelasan utama, namun kini kami lebih memperbanyakkan latihan memperkemaskan jentera serangan dan tindakan penyudah untuk mencapai kemenangan pertama,” katanya lagi.

Terengganu diundi bersama tuan rumah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan dalam Kumpulan B dan akan berlepas 15 Julai ini.
Tarikh Artikel: Wednesday, July 13, 2016
Comment Policy: Kami Terengganu 11 tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Buka Komen
Tutup Komen
Loading...