--> Skip to main content

Rekod Tanpa Kalah Dilebur Terengganu, Maruah Kami Tercalar - Irfan


Rekod tanpa kalah Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, lebur apabila tumpas 1-0 kepada Terengganu dalam aksi Kumpulan D Piala Malaysia, malam tadi.

"Sedikit tercalar kerana kalah di tempat sendiri tetapi nasib baik ia adalah perlawanan Piala Malaysia.

"Jadi, kami akan bertemu kembali di sini 9 Ogos (menentang Melaka United). Saya harap ia tidak akan berulang lagi," kata jurulatih Felda, Irfan Bakti Abu Salim.

Tewas 6-1 kepada Kelantan dalam aksi Liga Super, Jumaat lalu, Terengganu turun untuk bangkit bertemu Felda yang tidak kalah dalam 10 perlawanan di laman sendiri sebelum ini.

Skuad Peteh di bawah sentuhan Mustafa Kamal Abdul Wahab, selaku jurulatih sementara, mempamerkan corak permainan positif menerusi beberapa percubaan bahaya ke kubu The Fighters.

Namun, mereka hampir ketinggalan pada minit ke-30, mujur Forkey Doe melakukan kesilapan menyentuh bola pada kedudukan ofsaid ketika percubaan Gilberto sudah hampir menerjah jaring.

Bersambung babak kedua, Terengganu dinafikan sepakan penalti walaupun Norshahrul Idlan Talaha tampak dikasari pertahanan Felda United.

Namun, usaha keras penyerang kebangsaaan itu membuahkan hasil apabila berjaya menyudahkan hantaran Issey Najakima, sekali gus meletakkan Terengganu di depan pada minit ke-50.

Gawang Felda nyaris bocor buat kali kedua pada minit ke-82, mujur percubaan pemain gantian Ashaari Shamsudin tidak tepat ke sasaran.

Felda kemudian melancarkan siri serangan ke kubu Terengganu, namun deretan peluang yang terhidang gagal diterjemahkan ke dalam bentuk jaringan.

Walaupun tewas, Felda terus bertakhta dalam saingan Kumpulan D hasil perbezaan jaringan.

Tiga mata yang diraih Terengganu ke atas Felda pula sekadar meletakkan mereka di tangga ketiga, namun sekurang-kurangnya mengelak daripada menghuni tangga tercorot.

Sementara itu, Mustafa Kamal memuji semangat skuadnya.

"Alhamdullilah. Pemain-pemain saya bermain bermati-matian untuk mengembalikan maruah negeri Terengganu."
Tarikh Artikel: Saturday, July 23, 2016
Comment Policy: Kami Terengganu 11 tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Buka Komen
Tutup Komen
Loading...