--> Skip to main content

Skuad Harimau Muda (Olimpik) Tewaskan Kelab Liga 1 Slovakia

SHUKOR JUSOH (kanan) antara pemain yang semakin menunjukkan peningkatan sepanjang latihan di Slovakia.

SKUAD Olimpik negara bangkit mencatat kemenangan keempat apabila berjaya menewaskan kelab 1 Slovakia, Dolny Kubin 2-0 di tempat lawan malam kelmarin, lapor WAN FAKHRUL BAKAR.

Setelah tewas 1-4 kepada kelab Hungary, Budapest Honved minggu lalu, kemenangan tersebut menaikkan semula moral pasukan untuk menghadapi baki dua lagi perlawanan bertemu Nitra (23 Ogos) dan Levice (26 Ogos).

Pada aksi menentang Dolny Kubin itu, gol pertama skuad negara diperolehi menerusi sepakan percuma Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit kesembilan sebelum Ahmad Hazwan Bakri meledak gol kedua pada minit ke-37.

Jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee berkata, secara keseluruhan para pemain berjaya menunjukkan persembahan yang lebih kemas serta berdisplin namun konsistensi selepas ini perlu dikekalkan.

"Separuh masa pertama, kita lambat menyesuaikan corak permainan tetapi selepas gol pertama pemain bertambah yakin dan menunjukkan pergerakan yang lebih baik terutama di bahagian tengah.

"Persefahaman di antara Shukor Jusoh dan K. Gurusamy di jentera tengah telah memainkan peranan penting pada perlawanan ini.

"Tapi pada babak kedua, pemain sedikit tertekan apabila pasukan lawan mengasak untuk mendapatkan gol tetapi berjaya dikawal dengan baik barisan pertahanan," kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! di Slovakia semalam.

Kapten, Khairul Fahmi Che Mat berjaya mengawal gawang dengan baik sepanjang 90 minit permainan sambil dibantu empat pertahanan, Mahali Jasuli, Fadhli Shas, Amer Saidin dan Zubir Azmi.

Selepas lima perlawanan di Slovakia, skuad negara telah mencatat empat kemenangan dan sekali tewas dengan menjaringkan lapan gol dan bolos enam kali.

Wan Zack Haikal muncul penjaring terbanyak pasukan setakat ini dengan tiga gol diikuti Ahmad Hazwan dengan dua gol dan masing-masing satu gol daripada Fandi Othman, Irfan Fazail dan Ferris Danial Mat Nasir. [Sumber]
Tarikh Artikel: Wednesday, August 17, 2011
Comment Policy: Kami Terengganu 11 tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Buka Komen
Tutup Komen
Loading...