--> Skip to main content

Malaysia Tewas Dengan Brazil, Gagal Ke Suku Akhir

PEMAIN Malaysia, Muhamad Nursalam (jersi biru) diasak tiga pemain Brazil, malam tadi. Kekalahan kali kedua skuad bola sepak, gagal ke suku akhir.

SUKAR untuk menidakkan ada jurang di antara skuad negara ketika tewas tipis kepada Brazil 2-1 pada perlawanan kedua saingan bola sepak Kumpulan B di temasya Universiade, malam tadi.
Selepas diasak bertubi-tubi seawal minit pertama permainan, gawang negara akhirnya bocor pada minit ke-20 hasil jaringan Jefersom Berger menerusi rembatan leret deras selepas bijak memperdaya pertahanan negara.
Dan penyerang itu sekali lagi mempamer ketajamannya dengan gol kedua peribadi pada minit ke-69 hasil kesilapan pertahanan negara yang dikemudi Amirizwan Taj Tajudin.

Gol tunggal skuad negara pula hadir menerusi sepakan penalti Mohd Bunyamin Umar, dua minit sebelum permainan tamat selepas Muhammad Afham Zulkipeli dijatuhkan di kawasan penalti.

Kekalahan kepada Brazil adalah yang kedua berturut-turut skuad negara pada temasya Universiade kali ini selepas tumbang kepada Ukraine dengan keputusan sama pada perlawanan pertama, Khamis lalu.

Skuad negara bakal berdepan Russia yang berjaya mengikat Brazil 1-1 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan sebelum mengakhiri saingan di Shenzhen dengan penentuan kedudukan.-[Sumber]


Tarikh Artikel: Sunday, August 14, 2011
Comment Policy: Kami Terengganu 11 tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Buka Komen
Tutup Komen
Loading...