--> Skip to main content

Benjy Didapati Bersalah Miliki Syabu, Denda RM5,000

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Pelakon Benjy didenda RM5,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah didapati bersalah atas tuduhan memiliki dadah jenis syabu seberat 0.24 gram yang ditemui di kediamannya di unit kondominium Menara Duta 2, tahun lalu.

Majistret Hafizza Sauni memutuskan demikian terhadap anak lelaki tunggal dramatis, Azean Irdawaty tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.

Benjy, 33, atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim didakwa memiliki 0.24 gram dadah jenis syabu di rumah bernombor A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B Persimpangan Jalan Segambut di sini pada pukul 4 petang, 11 Mac tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara lima tahun.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Mawarni Abdul Halim manakala, tertuduh diwakili peguam bela Amer Hamzah Arshad.

Sebanyak 14 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk Benjy telah dipanggil untuk memberikan keterangan sepanjang perbicaraan yang berlangsung sejak tahun lalu. -[Sumber]
Tarikh Artikel: Tuesday, August 16, 2011
Comment Policy: Kami Terengganu 11 tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Buka Komen
Tutup Komen
Loading...