--> Skip to main content

3,000 Anggota KPDN Periksa Dan Pantau Harga Barang Musim Raya

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menempatkan seramai 3,000 anggota bagi membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap para peniaga sepanjang musim perayaan ini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka terdiri daripada 2,000 pegawai penguatkuasa dan 1,000 pegawai pemantau harga yang ditempatkan di lokasi-lokasi tumpuan orang ramai di seluruh negara seperti pasar awam dan pasar tani.

Menurut beliau, langkah itu bertujuan melindungi kepentingan pengguna khususnya untuk mengelak daripada aktiviti pengambilan keuntungan yang berlebihan oleh para peniaga terutama apabila Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2011 yang dikuatkuasakan bermula 23 Ogos hingga 6 September ini.

"Selain menempatkan para pegawai, kita masih memerlukan sokongan daripada pengguna untuk sama-sama bertanggungjawab dan bertindak terhadap peniaga yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Orang ramai boleh menyalurkan sebarang aduan kepada semua pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan seluruh negara atau e-mel kepada e-aduan@kpdnkk.gov.my atau menghubungi talian bebas tol 1-800-886-800," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pengumuman Harga Maksimum Barangan Harga Terkawal Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2011 di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, di bawah skim tersebut yang dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang berkuatkuasa 1 April lalu itu, para peniaga dan syarikat yang ingkar dan gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan akan dikenakan tindakan tegas.

Beliau berkata, bagi kesalahan menjual barang harga terkawal melebihi harga maksimum yang ditetapkan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,0000 manakala syarikat pula akan dikenakan didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barang harga terkawal, ujar beliau, individu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 manakala bagi syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 20 jenis barang termasuk semua jenis bawang dikategori sebagai barangan harga terkawal pada musim perayaan Hari Raya tahun ini berbanding hanya 18 jenis barang pada tahun lalu.

Menurut beliau, peniaga diwajibkan menjual barang harga terkawal mengikut harga maksimum yang ditentukan kerajaan serta meletakkan tanda harga berwarna merah jambu sebagai membezakan barang harga terkawal dengan barangan lain.

"Penentuan harga siling maksimum itu dibuat setelah berunding dengan pengeluar, pemborong dan peruncit dan kebanyakan harga siling yang ditetapkan tidak banyak bezanya dengan perayaan musim Tahun Baru Cina sebelum ini

"Bagaimanapun, kita mengalu-alukan para peniaga untuk menjual barang-barang tersebut lebih rendah daripada harga siling yang ditetapkan sekiranya harga yang diperoleh lebih rendah daripada harga maksimum," katanya. - [Sumber]
Tarikh Artikel: Wednesday, August 17, 2011
Comment Policy: Kami Terengganu 11 tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Buka Komen
Tutup Komen
Loading...