--> Skip to main content

Irfan Bakti Idam Tiga Mata Aksi Sulung Piala Malaysia


Selayang: Status Selangor selaku juara 33 kali tidak menghadirkan rasa gerun kepada pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, yang optimis mampu mencipta kejutan dalam aksi pembukaan Piala Malaysia, malam esok.

Bagi Irfan, walaupun mereka beraksi dalam Liga Perdana, pemain-pemainnya tidak akan memberi jalan mudah kepada skuad kendalian P. Maniam itu.

“Kombinasi pemain semakin baik dan jika kami beraksi seperti babak kedua menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Jumaat lalu, saya yakin Terengganu akan memperoleh sesuatu di Selayang.

“Piala Malaysia ialah kejohanan kebanggaan negara dan kami berharap untuk mendapat tiga mata dalam aksi sulung ini,” katanya.

Irfan turut lega dengan kehadiran tonggak pertahanan, Lazaro Vinicious, selepas pemain kelahiran Brazil itu tidak beraksi akibat penggantungan perlawanan sewaktu Terengganu bertemu JDT II.

Kembalinya Vinicious, 27, menurut Irfan, diharapkan dapat mengukuhkan barisan pertahanannya yang akan turun tanpa Mohd Radhi Yusof akibat kecederaan.

“Akan ada sedikit pertukaran, termasuk Abdul Shukor (Jusoh) yang akan direhatkan. Ketua pasukan, Abdul Latiff (Suhaimi) pula hanya akan kembali dalam tempoh dua minggu lagi.

“Jentera tengah perlu lebih fokus agar tidak leka dan mengawal pergerakan pemain lawan,” tambahnya.

Ketua jurulatih berpengalaman itu juga yakin penyerang importnya, Kipre Tchetche, dapat menemui sentuhan jaringan selepas aksi cemerlang dalam penampilan sulungnya. - Arena
Tarikh Artikel: Monday, July 3, 2017
Comment Policy: Kami Terengganu 11 tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Buka Komen
Tutup Komen
Loading...